Resipi Ayam Goreng Kunyit Istimewa

 


Sedar tak sedar bulan Ramadan hampir saja tiba tak lama lagi. Kita sebagai mak- mak ni memang tak sah lah jika tak kalut fikir nak masak apa setiap kali berbuka puasa kan?

Jadi Yati kepilkan menu istimewa,

Ayam Goreng Kunyit Rangup diluar lembut di dalam.


Sejujurnya saya hantu ayam goreng kunyit, cuma jarang jumpa yang sedap. Tapi ada suatu haritu dapat rasa yang sedap di satu gerai ni maka saya rasa terinspirasi. 

Jadi mari kita sediakan bahan,

Bahan goreng:

1 ekor ayam/ 700gm dada ayam (potong kecil)

2 paket cendawan tiram (dicarik kecil) 

2 sudu besar serbuk kunyit - Adabi

3 sudu besar tepung goreng ayam - Adabi


Bahan lain:

Separuh Kubis bunga *Opsyenel

1 ikat kacang panjang

1 batang karot

1 batang lada merah

1 biji bawang holland (potong 4)

2 biji bawang merah *Opsyenel

3 ulas bawang putih (diketuk dan hiris nipis) 


Bahan Sambal:

3 tangkai cili merah 

5 tangkai cili padi merah

1/2 sudu besar gula

Sedikit garam

Sedikit belacan

1 biji limau kasturi/limau nipis


Cara Masakan:


1. Masukkan ayam yang sudah didadu ke dalam mangkuk kemudian taburkan tepung ayam goreng bersama serbuk Kunyit. Gaul sebati. 


2. Gorengkan ayam yang sudah disaluti tepung tadi ke dalam minyak yang panas. Pastikan api sederhana dan ayamnya tenggelam sewaktu menggoreng. 

Supaya ayam yang digoreng akan rangup kesemua di bahagian kulit. Setelah habis ayam digoreng bolehlah digorengkan cendawan pula. (Tiada gambar). 

Cendawan juga perlu disaluti tepung goreng ayam sahaja (tidak perlu serbuk kunyit) sebelum di goreng deep fried.

Setelah masak bolehlah diketepikan sekejap.



3. Dalam kuali lain, tumiskan hirisan bawang sehingga naik aroma.


4. Masukkan sedikit serbuk kunyit lebih kurang 1 sudu kecil. Gaul rata.


5. Masukkan sayur- sayuran kegemaran kita. Kebiasaannya jika masak ayam goreng Kunyit ni sudah pasti kobis bunga bersama kacang panjang yang menjadi pilihan hati.


6. Masukkan garam secukup rasa. Jika terlalu kering boleh tambahkan sedikit air kosong. Gaul sehingga sayur masak. Usah terlalu lama.



7. Masukkan lada merah. Boleh diketepikan jika tidak suka. Mahu masukkan cili api juga boleh. Ikut kesukaan kita.


8. Masukkan bawang Holland. Saya tak ada bawang Holland, jadi bawang besar sahaja yang diletakkan. Setelah kesemuanya sudah sebati. Tutup api.



9. Masukkan ayam bersama cendawan goreng tadi ke dalam sayuran dan gaulkan rata. 


10. Siap untuk dihidangkan! 

Boleh lah dihidangkan bersama sambal belacan kegemaran kita. Selamat Mencuba ya!

#yatimasakapetu

Comments

Most Popular