Resipi Sagu Laici Gula Melaka

 


  Resipi Sagu Laici Gula Melaka ini sangat mengimbau kenangan manis ketika mana saya dan beberapa sahabat yang lain ingin membuka satu group masakan di laman sesawang muka buku yang bernama Masakan Berpuaka. 

Tercetusnya idea membina Masakan Berpuaka ketika itu apabila kami iaitu Puan Ameera, Puan Liza, Puan Umi Watie termasuk saya yang terlalu suka berkongsi resipi menyatakan bahawa mengapa tidak kami bergabung mengumpul segala resipi di sebuah group masakan?

Ia merupakan memori yang cukup indah di mana kami berempat berbincang antara satu sama lain mengenai gambar, nama group serta syarat- syarat yang perlu dinyatakan ketika itu.

Tidak dilupakan juga buat sahabat- sahabat yang berada di belakang tabir yang telah banyak membantu serta memberi sokongan dalam melengkapkan Group Masakan Berpuaka.

  Masakan Berpuaka diberi nama bukanlah bermakna masakan tersebut misteri atau berhantu sebaliknya ia diertikan sebagai resipi yang sangat istimewa serta bakal membuatkan orang teringat- ingat setelah mencuba resipinya. Ia berlaku spontan dan kami sepakat bersetuju.

  Oleh itu, mari kita ke resipi yang sangat menggamit memori pada kali ini.

Sagu Laici Gula Melaka 


Bahan kuah santan:

2 kotak santan Kara

1 cawan air kosong (cawan Ikea)

Secubit garam 

1 tin buah Laici


Bahan Sagu:

2 cawan sagu merah/ putih

Air kosong secukupnya


Bahan Gula Melaka:

1 biji gula Melaka 

2-3 helai daun pandan

1 cawan air (cawan Ikea)


Langkah Memasak:


1. Masukkan sagu ke dalam periuk.

2. Masukkan air secukupnya untuk merebus sagu. 

3. Pastikan air lebih banyak dari biji sagu. Sagu akan berkembang. Jika air semakin kering tetapi sagu masih belum cukup jernih bolehlah ditambahkan air lagi dan masak sehingga kesemua menjadi jernih.

Biji sagu perlu sentiasa dikacau supaya tidak berkerak di bahagian bawah. Api pula biarkan sederhana kecil.

4. Biji sagu yang sudah masak sepenuhnya akan jernih begini. Setelah itu bolehlah ditutupkan apinya.

5. Tapiskan biji sagu.

6. Lalukan biji sagu dengan air bersih bagi membuang kanji yang melekat.

Ia menjadikan tekstur sagu lebih sedap dimakan dan tidaklah begitu melekit atau terlalu kenyal.

7. Toskan lebihan air dan masukkan sagu ke dalam bekas acuan. Biarkan sejuk seketika.

8. Sementara tunggu sagu menjadi keras dan sejuk kita masak kuah pula. Dalam periuk lain masukkan santan.

9. Simpulkan daun pandan dan masukkan ke dalam santan.


10. Masukkan 1 cawan air kosong. Perlulah sentiasa dikacau supaya kuah santan tidak berketul.


11. Masukkan secubit garam dan kacau rata sehingga sebati. Setelah mendidih boleh padamkan api dan sejukkan dalam fridge.


12. Untuk buat air gula. Hiris atau potong gula Melaka menjadi kecil supaya mudah larut ketika dimasak.


13. Masukkan gula melaka bersama secawan air ke dalam periuk. Masak sehingga mendidih dan pekat sedikit. 

Kemudian sejukkan air gula di dalam fridge.


14. Setelah sejuk kesemuanya bolehlah dihidangkan sagu bersama kuah santan, air gula melaka dan buah Laici. 

Menu ini sangat sesuai dihidang ketika berbuka puasa di bulan Ramadan.

Selamat Mencuba ya!

#YatiMasakApetu



Comments

Most Popular