Resipi Karipap Rangup dan Rapuh

 

Siapa sini suka karipap? Boleh geng. Dulu lagi saya memang hantu karipap tetapi sejenis memilih juga pastrinya hinggalah saya terjumpa dengan resipi yang tersangatlah sedap dan kena dengan citarasa saya.

Resipi ini dari kakak Azlita Masam Manis. Memang sedap, rangup dan rapuh kulitnya. 

Karipap Rangup dan Rapuh 

Bahan pastri rangup:

400gram tepung gandum

1/2 cawan minyak

2 sudu besar marjerin

1/2 cawan air sejuk ( letak kiub ais)

garam


Langkah- langkah:

1. Masukkan tepung gandum ke dalam bekas yang besar supaya mudah untuk kita menguli nanti. Kemudian masukkan mentega atau majerin dan sebatikan sehingga menjadi seperti serbuk roti.

2. Panaskan minyak hingga mendidih dan curahkan minyak panas ke dalam tepung gandum tadi. Hati- hati ya ketika ini minyak memang sangat panas. 

3. Gaulkan minyak bersama tepung dengan menggunakan sudu atau sudip. Gaul kesemua adunan sehingga sebati.

4. Masukkan sedikit garam ke dalam air sejuk dan kacau rata. Kemudian curahkan ke dalam sebatian tadi sehingga menjadi doh yang tidak melekat di tangan. Air agak- agak sahaja ya. Tidak perlu dihabiskan semua.

5. Setelah doh agak licin bolehlah direhatkan sebentar. Tutup doh dengan menggunakan cling wrap dan sejukkan di dalam fridge lebih kurang 1- 2 jam.

* Langkah ini penting bagi mendapatkan kulit karipap yang rangup serta doh akan lebih mudah dicanai nanti. 

6. Setelah diperap bolehlah dicanaikan dohnya.

7. Gelekkan doh dengan menggunakan penggelek.

8. Pastikan doh yang dicanai tidak terlalu nipis dan tidak terlalu tebal.

9. Terapkan doh dengan menggunakan penerap bulat. Saya hanya menggunakan cawan Ikea. Jika ada acuan karipap bolehlah digunakan terus di langkah ini.

10. Gelekkan sekali lagi supaya melebar sedikit.

11. Masukkan inti kesukaan anda.

12. Kelim karipap dengan kemas.

13. Kelim dengan rapat. Sebelum kelim bolehlah basahkan jari dengan air garam supaya kelim akan lebih kemas dan melekat antara doh.

14. Taburkan tepung gandum di atas pinggan atau dulang kemudian aturkan karipap yang sudah dikelim di atas dulang tersebut. 

15. Bolehlah digorengkan dengan menggunakan kaedah deep fried. Pastikan api sederhana sahaja supaya kulit menjadi cantik.

16. Setelah itu bolehlah diangkat dan toskan lebihan minyak.

17. Alhamdulillah siap sudah karipap kita. Karipap kali ini saja saya tambahkan telur rebus supaya nampak lebih istimewa. Anak- anak memang gemarkan karipap kentang yang ada telur. 

Lain kali saya kongsikan resipi inti karipap pula. Selamat Mencuba ya!

#YatiMasakApetu


Comments

Most Popular